Orang di Naning, China sanggup beratur selama tiga jam semata-mata untuk merasai seulas durian daripada Malaysia. (Gambar: Shabery Ceek-Twitter)

Durian sememangnya layak digelar sebagai raja buah. Setiap kali musimnya tiba, pasti penggemar buah ini ‘naik hantu’ sebab tak sabar mahu menikmatinya.

Malah, rakyat Malaysia seakan ‘berpesta’ sampai ada yang sanggup bayar ratusan ringgit semata-mata untuk menikmati durian gred A yang dijual secara terus dari kebun oleh penjual di luar sana.

Bagaimanapun tahukah anda di China, durian dianggap buah yang paling mahal digemari penduduk di sana malah kini setanding dengan telefon pintar, iPhone!

SANGGUP BERATUR PANJANG

Senja di Nanning. Masih ramai yg beratur kerana seulas durian Malaysia pic.twitter.com/PO1FqVY1b2

— Shabery Cheek (@shaberyc) November 5, 2017

Menurut Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, durian Malaysia terutamanya jenis Musang King kini mendapat sambutan memberangsangkan di pasaran China.

Menariknya, beliau menyatakan penduduk China sanggup beratur panjang hampir tiga jam semata-mata mahu menikmati kelazatan durian Musang King.

“Hanya dua perkara ini saja penduduk China sanggup beratur. Pelancaran iPhone dan juga durian!,” katanya seperti dilaporkan NST.

Selain itu, beliau menegaskan harga tinggi untuk jualan durian di sana tidak sepatutnya menjadi isu sebaliknya kejatuhan harga akibat jumlah durian yang berlebihan yang perlu diberi perhatian. Jika perkara ini berlaku, secara tidak langsung boleh menyebabkan pekebun durian menerima impak yang buruk.

Harga durian kini melambung naik hingga RM100 untuk satu kilogram adalah disebabkan penurunan kadar pengeluaran raja buah itu sehingga 30 peratus.

MALAYSIA PENGIMPORT TERBESAR

Musang King pastinya paling digemari.

Penjualan durian di China sebenarnya bersempena dengan promosi yang dijalankan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada 3 sehingga 5 November lalu.

Menariknya, Malaysia kini menyasarkan untuk menjadi pengimport terbesar durian ke China memandangkan sebelum ini buah tersebut memasuki pasaran menerusi negara seperti Singapura dan Hong Kong.

Atas sebab itu, harga durian dijual di sana mencecah ratusan ringgit bagi setiap kilogram.​

DURIAN SUMBER KEKAYAAN BARU

Difahamkan durian sudah mula dijual sekitar Kampung Gajah dan Taiping, Perak.

Berdasarkan permintaan yang tinggi dalam kalangan pembeli, durian kini dianggap sebagai sumber kekayaan negara.

Sehingga tahun 2016 keluasan penanaman durian di seluruh negara adalah 66,000 hektar manakala pengeluaran yang dihasilkan mencapai 302,000 metrik tan.

Difahamkan terdapat sebanyak 204 jenis durian didaftarkan di bawah Jabatan Pertanian.

Rojak Daily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here