Masih ingat lagi? Itulah ucapan terakhir Doc kepada Marty sebelum DeLorean terbang sebagai mesin masa menuju tahun 2015 dalam babak akhir filem pengembaraan masa terkenal, Back to the Future.

Sejak itu, kenderaan seperti kereta dan motosikal terbang menjadi impian ramai anak muda dan sering digambarkan dalam Wawasan 2020 yang diaspirasikan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Rancangan Malaysia Keenam (RMK 6) pada awal dekad 1990-an lalu. Namun, sehingga ke hari ini masih tidak nampak bayangan kenderaan terbang seperti itu akan menjadi kenyataan.

Walaupun kedengaran mustahil, anda sebenarnya tidak perlu menunggu lama lagi kerana syarikat Hoversurf yang berpengkalan di Dubai bakal menjadikan visi itu sebagai realiti tidak lama lagi melalui platform motosikal terbang komersil mereka – SCORPION!

Selepas selesai melepasi ujian ketat dalam cuaca ekstrem seperti debu dan suhu melampau, motosikal terbang atau hoverbike dalam video di atas kini disahkan sebagai versi khas platform SCORPION untuk kegunaan pasukan polis Dubai yang bakal tampil dengan uniform hitam seakan sut perisai.

Dengan potensi kelajuan maksimum 65kmj, dan tempoh penerbangan kira-kira 25 minit, hoverbike itu sebenarnya bukanlah dibina  untuk mengejar penjenayah yang sudah tentu memandu supercar berkuasa tinggi. Tambahan lagi, polis Dubai pun memang sudah ada barisan supercar polis seperti Lamborghini, Ferrari dan Aston Martin.

Menariknya, hoverbike itu mampu terbang setinggi 5 meter dan membawa beban hingga 300kg. Ditambah pula tanpa gangguan lalu lintas, tugas-tugas bergegas ke lokasi kemalangan atau menghambat pesalah jalan raya pasti jadi lebih mudah.

Mujurlah hoverbike tersebut cuma ada di Dubai buat masa ini. Kalaulah polis Malaysia pun sudah ada, pasti habis kecut perut mat-mat rempit kita. Apa tidaknya, pikul motor panjat divider pun belum tentu dapat lari daripada road block!

PanduLaju

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here