Jika melihat apa yang dilakukannya, mungkin ramai beranggapan ia kerja gila! Menunggang motosikal ‘kapcai’ Honda Cup C70 beratus kilometer semata-mata mahu menjual madu dan sabun kelulut. Namun, seorang pemuda berusia 28 tahun menganggap ‘kerja gila’ ini berjaya merealisasikan impiannya untuk menjelajah ke seluruh Semenanjung dan pada masa sama mengenali ramai rakan baru.

MISI JELAJAH 20 HARI

Muhammad Shuhur Azizuddin, 28, ketika ditemubual Rojak Daily Skop! menyatakan dia memulakan jelajah mempromosikan madu kelulutnya pada 29 September lalu dan ia bermula dari negeri kelahirannya di Ipoh Perak. Perjalanannya bermula dari Ipoh dan kemudian mula menuju ke Selatan melalui Bidor, Behrang, Slim River dan Tanjung Malim.

Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Selangor, Seremban dan Melaka selama beberapa hari sebelum tiba di penghujung Selatan iaitu Johor Bahru. Tampoi dan Pasir Gudang antara lokasi hentian pemuda ini.

Jelajah solo dengan membawa 70 botol madu kelulut dan 40 sabun madu.

Puas mengelilingi Selatan tanah air, Shuhur kemudian memulakan perjalanan ke Pahang melalui Jalan Mersing di Kluang, Johor. Sepanjang laluan, pantai berdekatan Cherating ditawan sebelum meneruskan perjalanan ke Terengganu, Kelantan sebelum merentasi kawasan Utara Semenanjung.

Perlis menjadi lokasi pertama dalam siri jelajah ke Utara sebelum kembali ke Selatan melalui Kedah dan Pulau Pinang. Ketika artikel ini diltulis berkemungkinan Shuhur sudah pun berada di Pulau Pinang.

USIA 50 TAHUN MASIH SETIA

Motosikal 'legend' masih unggul biarpun sudah 50 tahun digunakan.

Motosikal Honda C70 yang digunakan Shuhur antara ‘masterpiece’ keluaran Honda yang juga dianggap ‘legend’ oleh sesetengah masyarakat negara ini. Dikeluarkan pada tahun 1958, model klasik ini juga membuktikan penghasilan berkualiti menjamin penggunaannya dalam tempoh lebih lama. Baginya, motosikal milik bapanya ini adalah ‘peneman’ setia sepanjang perjalanan.

Perjalanan hampir 20 hari mengelilingi Semenanjung pastinya satu tempoh yang lama terutama apabila menggunakan motosikal lama. Biarpun tiada insiden malang berlaku sepanjang perjalanan tetapi Honda C70 ini hampir terbelah dua apabila rangka badan motosikal mula terlerai.

Bagaimanapun, niat yang ikhlas dan jujur nescaya dipermudahkan oleh Tuhan apabila motosikal terbabit kemudiannya segera dibaiki hasil pertolongan rakan yang baru dikenalinya.

Susah senang bersama! Siapa sangka rakan yang baru kita kenal pula yang bantu ketika kesusahan. TIDUR DI MANA SAJA

Mungkin ramai memikirkan, dimanakah tempat tidur Shuhur sepanjang ekspedisi ini. Menurut Shuhur, dia tidak kisah walau dimana tempat dia melelapkan mata. Adakalanya dia tidur di rumah rakan, ada ketikanya di dalam kereta pun selesa untuk dijadikan tempat berehat.

Merujuk pada misinya menjual madu kelulut mungkin ia nampak biasa tetapi menghantarnya sendiri ke rumah pembeli itu agak luar biasa. Ia bertambah sukar apabila lokasi pembeli itu beratus kilometer daripada penjual sepertinya.

Menurut Shuhur, dia bertegas mahu menghantar madu terbabit terus ke depan pintu pembeli kerana mahu mengenali pelanggan secara lebih dekat. Malah, dia mula membina rangkaian bisnes dan bertemu lebih ramai kenalan selepas melaksanakan misi solo ini. Sepanjang perjalanan, dia berjaya menghabiskan 70 botol madu kelulut dan 40 ketul sabun madu yang dibawa sejak hari pertama. Syabas!

Dalam kereta pun selesa untuk lelapkan mata.
MISI TAWAN BORNEO

Kejayaan Shuhur kali ini dianggap berjaya kerana seluruh Semenanjung berjaya ditawannya selama hampir 20 hari dengan hanya menunggang motosikal klasik. Perancangan Shuhur selepas ini adalah mahu membawa motosikal terbabit ke Sabah dan Sarawak bagi memulakan perjalanannya menawan kawasan di sana.

Malah, pengalamannya belajar di Sabah beberapa tahun lalu mungkin memberi sedikit kelebihan padanya dalam mengenali selok belok kawasan berkenaan. Namun, apa yang jelas dia tetap mahukan Motosikal Honda C70 menjadi peneman jelajah keduanya kali ini.

Borneo tunggu aku datang!

Menurut Shuhur, dia bersyukur kerana menerima pelbagai sokongan dan bantuan sepanjang perjalanannya. Rakan kereta lama terutamanya dan tidak lupa juga jemaah-jemah masjid yang memberi sumbangan ‘duit minyak’  setiap kali singgah solat. Terima kasih!

Rojak Daily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here