TUMPAT, 10 Julai  ― Seorang peniaga etak tidak menyangka jualan etak tiga rasa mampu memberi pulangan lumayan buatnya.

Zulhairi Abdul Razak, 35, menjual etak dengan rasa manis dan pedas sejak setahun lalu dan mendapat sambutan hangat, lapor Sinar Harian.

“Alhamdulillah ia mendapat sambutan, malah etak pedas paling laris,” katanya.

Zulhairi akan mula memproses etak dengan mencampurkan perapan rempah ratus, bawang putih, halia, serai, halba dan garam.

Selepas dua jam etak akan disalai menggunakan bara sabut kelapa.

Mewarisi resepi ibunya, beliau berkata hasil jualan etak pada Aidilfitri lalu laku apabila 45 kilogram habis dalam masa tiga jam.

“Bagi memproses etak tiga rasa itu, saya bahagikan kepada tiga bahagian. Untuk etak manis, saya akan taburkan gula ketika etak itu masih panas selepas disalai.

“Untuk etak pedas pula saya taburkan serbuk cili dan perencah resipi saya. Yang lemak masin itu rasa asli etak salai,” katanya.

Berasal dari Kampung Jal di sini, Zulhairi membuka gerai seawal jam 8 pagi di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Batang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here