Sidang media sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2019, Malaysia menentang Korea Utara semalam hangat apabila media Malaysia dikecam kerana memanggil nama negara pemerintahan Kim Jong Un itu sebagai Korea Utara.

Seorang penterjemah dari Korea Utara memarahi dan meminta Malaysia berhenti menggelarkan mereka dengan nama itu sebaliknya diminta untuk menggunakan nama Republik Demokratik Rakyat Korea (DPRK).

“Jangan panggil kami Korea Utara, tidak ada Korea Utara,” kata pegawai negara itu yang kelihatan marah apabila media Malaysia berulang kali merujuk negaranya sebagai Korea Utara ketika sidang media di Stadium i-mobile, Buriram, Thailand.

Pegawai itu bertindak sebagai penterjemah untuk kapten Korea Utara, Kim Yu Song pada sidang media itu Jumaat lalu. Pegawai itu mencelah soalan yang dikemukakan oleh media Malaysia untuk membuat penjelasan mengenai nama rasmi negaranya itu.

Malaysia kalah menentang Korea Utara dengan jaringan 1-4 pada perlawanan pertama dan akan bertemu sekali lagi di stadium yang sama pada jam 8 malam ini. Malaysia kekal di tangga tercorot kumpulan B setakat ini.

Perlawanan itu sepatutnya diadakan Mac lepas tetapi ditunda hingga kini kerana hubungan diplomatik antara dua negara berikutan pembunuhan Kim Jong Nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada Februari lepas.

Sumber: Bernama

RojakDaily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here