Katakan apa saja, usahawan kosmetik dan produk kosmetik terkenal, Datuk Seri Vida terus mencipta fenomena sendiri. Malah dirinya kini juga bagaikan public figure atau artis. Buat apa saja pasti akan jadi perhatian sehingga tular dan tak kurang juga dikecam netizen.

Termasuklah kini menceburi arena nyanyian pula. Single I Am Me ciptaan Edry Abdul Halim menjadi buah tangan sulungnya melangkah ke pentas nyanyian. Tak hanya di situ, empunya diri bernama penuh Datuk Seri Hasmiza Othman sanggup membelanjakan hampir RM1 juta bagi penghasilan video muzik lagu terbabit.

Pelancaran video muzik arahan Ghaz Abu Bakar itu turut diadakan di Red Box, Pavilion Kuala Lumpur Rabu lalu.

Guna kepakaran Ghaz Abu Bakar

Menurut wanita cekal berusia 46 tahun itu, video muzik itu menjalani penggambaran di kediaman mewahnya di Ipoh, Perak. Ia mengangkat konsep mewah, glamor, cekal dan ranggi.

Menerusi video rasmi itu yang dipertontonkan kepada rakan media, Vida ditampilkan dengan identitinya yang cukup menyerlah, dengan kilauan emas permata dan wang ringgit. Sebelum ini ia pernah menjadi isu apabila video dirinya ‘mandi duit’ tular, baru-baru ini.

“Saya bukannya nak riak, tetapi inilah yang saya mahukan dari awal. Ghaz pula berjaya merealisasikan keinginan saya menerusi video terbabit. Ia menjadi paparan terbaik untuk saya tampilkan, bagi mewakili diri dan bisnes saya.

'Ayam' turut jadi sumber inspirasi.

“Idea dan konsep video muzik ini saya cari selama tiga minggu demi menampilkan kelainan. Saya perlu berani dari kebiasaan. Malah ejekan dan parodi lagu ini I Am Me yang turut kedengaran dan disebut sebagai ‘Ayam’ memberi saya inspirasi untuk tampil dengan bulu ayam sebagai kostum.

Bayangkan saya sanggup terbang ke Thailand dan Hong Kong untuk beli perhiasan bulu ayam sebagai pelengkap gaya,” katanya yang berpuas hati dengan hasil kerja dan kepakaran Ghaz.

Bersama Ifa Raziah.

Berdasarkan sambutan video lirik lagu itu yang sudah ditonton hampir sembilan juta kali di laman YouTube, Vida juga optimis video muzik rasmi lagu itu bakal mendapat 100 juta tontonan dalam masa tiga bulan di YouTube.

Vida yakin dengan angka itu bersandarkan kepada populariti diraih lagu berkenaan termasuk di luar negara selain memperhebatkan rangka promosi.

“Apa saya katakan saya akan lakukan! Saya tak mahu cakap kosong. Insya-Allah dengan populariti lagu ini dan promosi berterusan pasti dapat mencapai angka berkenaan.

Mahu 100 juta tontonan di YouTube.

“Strategi saya bukan hanya untuk peminat dan pendengar tempatan sahaja sebaliknya kita mahu melangkau ke luar negara,” katanya penuh semangat.

Dalam pada itu, Vida turut menyerlahkan sisi amalnya dengan mahu bercadang melelong barangan yang digunakan dalam muzik video itu seperti barang kemas, kostum dan tas tangan berjenama.

“Insya-Allah saya bercadang untuk melelong barangan yang digunakan dalam muzik video itu pada hujung tahun ini.

“Ia dibuat atas paksi baik demi mengumpul dana pembinaan sebuah sekolah Tahfiz di Kelantan. Barang yang ingin saya jual itu bukan barang terpakai tetapi semuanya yang baru dibeli,” katanya.

RojakDaily

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here