Setelah cemerlang dengan naskhah seram, Munafik pada tahun 2016, filem Munafik 2 bakal ditayangkan di seluruh pawagam pada 30 Ogos ini.

Filem yang menelan belanja RM2.8 juta ini menampilkan Syamsul sebagai pelakon utama disamping Maya Karin, Datuk Fizz Fairuz, Mawi, Nasir Bilal Khan, Datuk Rahim Razali dan ramai lagi.

Di laman Twitternya, @SyamsulYusof84, Syamsul turut berkongsi poster filem Munafik 2 yang paling ditunggu-tunggu oleh peminat filem tanah air.

Pengarahnya, Syamsul Yusof menjelaskan filem seram Munafik 2 memaparkan lebih banyak elemen Islamik dan dakwah berbanding filem pertamanya.

“Menerusi filem ini saya nak penonton merasai ajaran Islam yang dibawa menerusi beberapa watak sedia ada dan karakter baru diperkenalkan. Unsur dakwah yang diketengahkan diinspirasikan daripada kisah Nabi dan negara Islam yang ditindas. Saya sendiri menangis ketika melakukan proses suntingan filem ini”, jelasnya kepada Harian Metro.

Akan ditayangkan di 130 panggung seluruh Malaysia, filem ke-10 arahan Syamsul itu juga akan ditayangkan di Indonesia selain tayangan serentak di Singapura dan Brunei.

Lagu runut bunyi Munafik 2 bertajuk Dunia nyanyian Syamsul dan Mawi mendapat sentuhan Syamsul sendiri dan lirik ditulis bersama sepupunya, Anwar Faizal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here